text

Sunday, August 29, 2010

KOLOKIUM KEIBUBAPAAN 2010
“PENDIDIKAN ABAD KE 21 REALITI DAN CABARAN”
ANJURAN PIBG SK JELAPANG
31 JULAI 2010

Pada 31 Julai 2010, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Jelapang telah menganjurkan Kolokium Keibubapaan bertemakan ”Pendidikan Abad Ke 21 Realiti dan Cabaran”. Kolokium ini telah diadakan di Dewan Banquet Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya, Ipoh Perak. Seramai 250 orang peserta dikalangan ibu bapa dan guru telah turut serta dalam program ini.
Program Kolokium yang lebih bercorak forum ini diadakan bertujuan untuk menjelaskan kepada ibu bapa dan guru terhadap peranan mereka dalam menghadapi sistem pendidikan serta cabaran yang harus dihadapi dalam abad ke 21 sekarang ini. Ahli panel forum yang terdiri daripada Pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Perak, Pegawai di Jabatan Agama Islam Perak serta Pegawai Polis Daerah Kinta telah berjaya mengupas tajuk yang diberikan dengan begitu baik.
Dengan data-data serta bukti-bukti yang dikongsi bersama melalui paparan ”slide” turut membuka mata ibu bapa akan situasi semasa dengan masalah disiplin murid serta tindakan yang harus mereka ambil dalam menangani cabaran berkenaan. Program berkenaan diakhiri dengan sesi soal jawab yang diutarakan oleh peserta kepada ahli panel yang berakhir sehingga jam 1.00 petang. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Haji Nazri Bin Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi.
MAJLIS PELANCARAN IHYA’ RAMADHAN 1431 HIJRAH
PERINGKAT SEKOLAH
SK JELAPANG
13 OGOS 2010

Pada 13 Ogos 2010, Unit HEM dan Panitia Pendidikan Islam SK Jelapang telah menganjurkan Majlis Pelancaran Ihya’ Ramadhan 1431 Hijrah. Majlis berkenaan telah diadakan di Dewan SK Jelapang. Perasmian majlis tersebut telah disempurnakan oleh En. Shaharudin bin Deli, Yang Dipertua PIBG SK Jelapang.
Pihak penganjur turut menjemput Tuan Haji Wan Sallehuddin bin Wan Rafae, Penolong Pegawai PPD Kinta Utara, Unit Pendidikan Islam sebagai penceramah jemputan dalam mengisi program berkenaan. Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk memupuk murid-murid serta seluruh warga pendidik SK Jelapang dalam menghayati kedatangan bulan Ramadhan yang penuh dengah hikmah dan keberkatan. Pengisian program ini sedikit sebanyak menggalakkan murid-murid memperbanyakkan amal ibadah yang perlu direbut disepanjang bulan yang mulia ini.
Antara pengisian program ialah bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh murid, bacaan sajak murid dan persembahan sketsa dan nasyid dikalangan guru-guru lelaki SK Jelapang.
MAJLIS PELANCARAN BULAN KEMERDEKAAN
PERINGKAT SEKOLAH
SK JELAPANG 2010
16 OGOS 2010

Pada 16 Ogos 2010, Unit Hal Ehwal Murid SK Jelapang telah menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan Kali Ke 53 yang bertemakan ”1 Malaysia Menjana Tranformasi”. Majlis tersebut telah diadakan di tapak Dataran Ilmu Sk Jelapang dengan disertai semua guru-guru,kakitangan serta murid-murid. Perasmian Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah ini telah dirasmikan oleh En. Shaharudin bin Deli, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Jelapang.
Majlis ini adalah bertujuan untuk menerapkan semangat kemerdekaan dikalangan murid-murid SK Jelapang. Semangat ini harus dipupuk dari peringkat awal usia agar jasa-jasa pejuang terdahulu dalam memerdekakan negara dari dijajah sentiasa diingati dan dihargai oleh generasi kini. Majlis berkenaan dimeriahkan lagi dengan nyanyian 3 buah lagu patriotik beserta kibaran bendera seluruh warga SK Jelapang.
PROGRAM MOTIVASI DAN STRATEGI PECUTAN AWAL UPSR 2011
UNTUK MURID-MURID TAHUN 5
SK JELAPANG
“MENYERLAH POTENSI DIRI”
13 JULAI 2010

Pada 13 Julai 2010, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dengan kerjasama Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Jelapang telah menganjurkan Program Motivasi dan Strategi Pecutan Awal UPSR 2010 bertempat di Dewan Aras 6, Bangunan PTTC, Bandar Meru Raya, Ipoh Perak.
Program ini disertai oleh semua murid tahun 5 SK Jelapang. Tujuan program ini dijalankan adalah sebagai persiapan awal murid-murid tahun 5 sebelum menghadapi peperiksaan UPSR 2011. Pihak penganjur program sekali lagi telah menjemput En. Azir bin Haji Ismail sebagai penceramah dan motivator di sepanjang program tersebut berlangsung. Semua guru-guru tahun 5 turut bersama-sama membantu menjayakan program berkenaan. Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PIBG SK Jelapang, En. Shaharudin bin Deli. Program berkenaan berakhir pada pukul 1.00 petang.
PROGRAM MOTIVASI DAN STRATEGI PECUTAN AWAL UPSR 2010
SK JELAPANG
8 MEI 2010

Pada 8 Mei 2010, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Jelapang telah menganjurkan Program Motivasi dan Strategi Pecutan Awal UPSR 2010 bertempat di Dewan Banquet Aras 1, Kementerian Dalam Negeri, Bandar Meru Raya, Ipoh Perak.
Program ini disertai oleh semua murid tahun 6 serta ibu bapa murid SK Jelapang. Tujuan program ini dijalankan adalah sebagai persiapan awal sebelum menghadapi peperiksaan UPSR. Pihak penganjur program telah menjemput En. Azir bin Haji Ismail sebagai penceramah dan motivator di sepanjang program tersebut berlangsung. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato Nazri Bin Haji Ismail, Ahli Dewan Undangan Negeri, Manjoi.
KEM KEPIMPINAN & SAHSIAH SK JELAPANG
PUSAT KO-KURIKULUM PULAU PANGKOR
JABATAN PELAJARAN NEGERI PERAK
28 HINGGA 30 MEI 2010
























Pada 28 hingga 30 Mei 2010, Unit Bimbingan dan Kaunseling SK Jelapang dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Murid telah berjaya menganjurkan Kem Kepimpinan & Sahsiah untuk Pengawas Tahun 3, Pembimbing Rakan Sebaya, Ketua dan Penolong Ketua Kelas dan murid-murid asrama SK Jelapang.
Seramai 40 orang murid telah turut serta di dalam program ini dengan dibantu oleh 15 orang guru termasuk kakitangan SK Jelapang. Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik telah disusun atur oleh pihak urusetia kem di sepanjang 3 hari 2 malam para peserta berkampung di Pusat Kokurikulum berkenaan. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan ialah lawatan ke tempat-tempat menarik di Pulau Pangkor, Jejak Spora (”Night Walk”), ”Wall/Rock Climbing”, Aktiviti Air (”Water Confident” serta berkayak), ”Jungle Trecking”, Ikhtiar Hidup, dan BBQ.
Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan dan pengalaman kepada peserta bagi membina dan membentuk sahsiah kepimpinan secara individu mahupun berkumpulan. Peserta turut diuji secara mental dan fizikal dalam usaha memupuk jati diri dalam pembentukan modal insan yang cemerlang.

ruang iklan

ruang iklan